SEOUL, 31 MEI – Korea Utara menembak apa yang didakwanya sebagai ‘jentera pelancar angkasa lepas’ ke arah selatan hari ini, namun jatuh ke Laut Kuning selepas penerbangan ‘tidak normal’, kata tentera Korea Selatan.
Korea Utara yang mengesahkan kegagalan itu berkata roket baharunya ‘Chollima-1’ yang membawa satelit peninjau ketenteraan ‘Malligyong-1’, jatuh ke laut ekoran ‘penghidupan enjin peringkat kedua yang tidak normal’, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan rasmi agensi berita pusat Korea (KCNA).
Korea Utara merancang menjalankan pelancaran kedua secepat mungkin.
Ketua Staf Bersama (JCS) Seoul berkata ia mengesan pelancaran dari Tongchang-ri di pantai barat Utara pada 6:29 pagi dan peluru itu jatuh ke perairan kira-kira 200 kilometer ke barat pulau Eocheong selepas penerbangannya melintasi perairan pulau sempadan Baengnyeong. – Bernama
