Nama Jeon Jong Seo ketika ini sedang hangat diperkatakan selepas rakan zaman sekolahnya membongkar pelakon itu seorang pembuli.
Lebih memburukkan keadaan, seorang individu muncul mendakwa pernah menjadi mangsa buli Jong Seo sehingga meninggalkan trauma sehingga ke hari ini.
Dakwanya, pelakon itu pernah mencuri pakaian seragam sekolah selain sering menghina menggunakan kata-kata kesat.
“Dia akan curi pakaian sukan dan seragam pelajar ikut sesuka hatinya.
“Jika melawan, dia akan mencarut dan panggil awak dengan pelbagai panggilan. Lebih teruk awda akan jadi sasaran mangsa buli dia,” kata individu berkenaan.
Memetik laporan mStar, sikap Jong Seo itu membuatkan mangsa buli berasa takut sehingga lebih banyak memencilkan diri kerana bimbang akan jadi sasaran.
Imbau individu tersebut, pelakon itu pernah mengejarnya ke tandas, menendang pintu dan tidak akan berhenti menggangu sehingga dia berasa takut dengannya.
Namun semua tuduhan itu disangkal oleh pihak pengurusannya yang menganggap ia fitnah. “Ia langsung tidak masuk akal! Pihak kami sedang menyusun kenyataan penuh dan akan memaklumkan kepada awda tidak lama lagi,” kata wakil syarikat berkenaan. – Agensi