Friday, May 9, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jeptum pecahkan rekod dalam maraton Paris

    PARIS, 3 APRIL – Judith Jeptum dari Kenya memecahkan rekod maraton Paris manakala Deso Gelmisa dari Ethiopia memenangi perlumbaan lelaki hari ini.

    Jeptum menamatkan perlumbaan sejauh 42.2 kilometer dalam masa 2 jam, 19 minit dan 48 saat dalam keadaan sejuk dengan suhu 2 darjah Celsius pada permulaan acara. Pemenang maraton Abu Dhabi 2021 berada di hadapan pada kilometer ke-28 untuk mencatat prestasi terbaik dan memecahkan rekod 2:20:55 yang dicatat oleh Purity Rionoripo dari kenya pada 2017.

    Fantu Jimma dari Ethiopia di tempat kedua, lebih tiga minit di belakang Jeptum. Rakan senegaranya Besu Sado, bekas pelari 1,500 meter, menamatkan podium.

    Pelari dari Amerika Syarikat, Lindsay Flanagan, yang berada di tempat ketujuh dalam maraton Chicago 2019, menduduki tempat ke-10 dalam masa 2:26:54, pencapaian terbaik peribadinya.

    Dalam perlumbaan lekaki, Gelmisa mengatasi rakan senegaranya dan pemenang maraton Chicago 2021, Seifu Tura untuk menamatkan saingan dalam masa 2:05:07.

    Pelari dari Perancis, Morhad Amdouni, juara Eropah 2018 dalam acara 10,000 meter, menduduki tempat ketiga dalam masa 2:05:22 untuk memecahkan rekod Perancis yang dicatat Benoit Zwierzchiewski pada 2003.

    Lelaki terpantas dalam padang, Asefa Mengstu dari Ethiopia, menduduki tempat ke-10, lebih tiga minit di belakang Gelmisa.

    Pelari Switzerland, Julien Wanders, pemegang rekod Eropah untuk separuh maraton, berada di tempat ke-18 dalam penampilan sulung maratonnya. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda