TOKYO, 9 APRIL – Jepun akan menjual lebih banyak beras daripada simpanan stok kecemasannya sehingga Julai dalam usaha untuk menstabilkan harga yang melambung tinggi, kata Menteri Pertanian hari ini.
Selepas harga beras meningkat hampir dua kali ganda dari tahun ke tahun, kerajaan mula melelong stok simpanannya bulan lepas kali pertama sejak ia dimulakan pada 1995.
“Bagi menstabilkan harga beras yang melambung tinggi, kerajaan akan menjual beras simpanannya setiap bulan sehingga musim panas ini apabila beras yang baru dituai memasuki pasaran,” kata Menteri Pertanian, Taku Eto.
Kekurangan itu didorong oleh faktor termasuk hasil tuaian yang tidak memberangsangkan akibat cuaca panas pada 2023 dan pembelian panik yang dicetus oleh amaran ‘gempa besar’ tahun lepas.
Bilangan pelancong yang meningkat juga dipersalahkan atas peningkatan penggunaan.
Manakala sesetengah perniagaan dipercayai menyimpan inventori mereka dan menunggu masa yang paling sesuai untuk dijual.
Kerajaan setakat ini telah mengeluarkan kira-kira 210,000 tan beras.
Lelongan seterusnya sebanyak 100,000 tan akan diadakan pada minggu 21 April.
Harga runcit bagi lima kilogram beras pada minggu terakhir Mac ialah 4,206 yen
(AS$29), naik 104.5 peratus dari tahun ke tahun.
Jepun menyasarkan untuk meningkatkan eksport berasnya hampir lapan kali ganda kepada 350,000 tan menjelang 2030, kata kerajaan bulan lalu.
Penggunaan beras di Jepun telah berkurangan lebih daripada separuh sejak 60 tahun lalu kerana diet telah berubah untuk memasukkan lebih banyak roti, mi dan sumber tenaga lain. – AFP
