TOKYO, 29 SEPT – Diplomat tertinggi dari Amerika Syarikat (AS), India, Australia dan Jepun akan berkumpul di Tokyo pada minggu depan untuk rundingan mengenai cara-cara mengatasi koronavirus dan memperkukuhkan kerjasama, kata Jepun hari ini.
Keempat-empat negara telah menubuhkan kumpulan strategik dalam beberapa tahun ini, dikenali sebagai ‘Quad’, bertujuan berfungsi sebagai pengimbang kepada kuasa China dan mempromosi wawasan mereka untuk menubuhkan ‘Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka.’
Mesyuarat pada 6 Oktober akan dihadiri oleh Setiausaha Negara AS Mike Pompeo, Menteri Luar Australia Marise Payne dan Menteri Hal Ehwal Luar India Subrahmanyam Jaishankar.
Menteri Luar Jepun Toshimitsu Motegi meng-umumkan beliau akan menganjur rundingan empat hala – mesyuarat yang kedua seumpama itu selepas run-dingan pertama diadakan di New York tahun lalu.
“Masa adalah sesuai untuk menteri-menteri luar berkumpul di Tokyo untuk rundingan, untuk bertukar pandangan mengenai cara-cara mengatasi isu berbangkit yang telah timbul daripada penularan koronavirus, selain hal ehwal serantau,” beritahunya kepada wartawan pada taklimat.
Ia akan menjadi mesyuarat antarabangsa peringkat menteri pertama yang dianjurkan oleh Jepun sejak pandemik bermula, dan juga sejak Perdana Menteri Yoshihide Suga menerajui tampuk pentadbiran pada bulan ini.
Jepun membuka sempadannya secara bertahap kepada lebih ramai warga asing, terutamanya pengunjung perniagaan, tatkala ia bersedia menganjur semula Sukan Olimpik yang telah ditangguhkan pada musim panas akan datang. – AFP
