Wednesday, April 16, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jepun arah Google hentikan aktiviti antipersaingan

    TOKYO, 15 APRIL – Pihak berkuasa Jepun berkata hari ini mereka telah mengeluarkan arahan pemberhentian aktiviti kepada syarikat gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS), Google berhubung tuduhan pelanggaran undang-undang antipersaingan negara.

    Ia merupakan kali pertama negara itu mengeluarkan arahan sedemikian kepada gergasi teknologi global, lapor media Jepun, dan berlaku susulan langkah serupa di Eropah dan AS.

    “Kami telah membuat kesimpulan bahawa tindakan oleh Google LLC mengancam menghalang persaingan yang adil,” kata Saiko Nakajima dari Suruhanjaya Perdagangan Adil Jepun (JFTC) kepada pemberita hari ini.

    “Masalahnya adalah berkaitan dengan pelaksanaan fungsi carian untuk telefon pintar Android, yang melanggar undang-undang antipersaingan,” katanya.

    JFTC menuduh Google mengenakan syarat terikat kepada pengeluar telefon pintar Android di Jepun sejak Julai 2020.

    Secara khusus, ia mengatakan Google memastikan gedung aplikasi dalam taliannya, Google Play, akan dipasang sebagai sebahagian daripada pakej dengan apl carian penyemak imbas webnya, Chrome.

    Google Play telah digunakan secara meluas sehinggakan tanpa fungsinya, peranti Android pada dasarnya tidak boleh dijual, kata sumber kerajaan kepada AFP pada Disember lalu.

    Tiada penalti kewangan diumumkan hari ini, tetapi Nakajima berkata arahan itu akan menambah pilihan yang tersedia untuk pembuat telefon pintar.

    “Ia akan menggalakkan persaingan dan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
    Google Jepun berkata ia kecewa dengan keputusan JFTC. – AFP

    Gambar fail bertarikh 13 Ogos 2024 menunjukkan Ibu Pejabat Google di kampus Bay View di Mountain View, California. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda