Sunday, July 13, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jepun-AS-Filipina jalankan latihan pengawal pantai

    KAGOSHIMA, 20 JUN – Pengawal pantai Jepun akan melaksanakan simulasi perlanggaran kapal hari ini dalam latihan bersama dengan Amerika Syarikat (AS) dan Filipina, yang dilihat sebagai simbol perpaduan terhadap aktiviti China di perairan serantau yang dipertikaikan.

    Perkara itu merupakan kali kedua ketiga-tiga negara tersebut menjalankan latihan bersama, selepas latihan maritim pertama mereka diadakan di Filipina pada 2023.

    Simulasi hari ini akan melibatkan perlanggaran, kebakaran dan individu terjatuh ke laut serta menandakan penutup kepada siri latihan selama seminggu di perairan barat daya Jepun yang bermula Isnin lalu.

    Wartawan AFP turut dijadual menyaksikan simulasi tersebut.

    Ketua pengawal pantai wilayah Jepun, Hiroaki Odachi berkata, latihan itu bertujuan untuk menyumbang kepada “merealisasikan rantau Asia-Pasifik yang bebas dan terbuka.”

    Latihan kali kedua pengawal pantai yang dijalankan oleh ketiga-tiga negara, di Filipina, pada 20 Jun. – AFP

    Ketegangan antara China dan negara lain yang turut menuntut sebahagian Laut China Timur dan Selatan telah mendorong Jepun untuk mengukuhkan hubungan dengan Filipina dan AS dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

    China dan Filipina telah terlibat dalam konfrontasi berbulan-bulan di Laut China Selatan yang dipertikaikan, yang hampir keseluruhannya dituntut oleh Beijing, meskipun keputusan mahkamah antarabangsa menyatakan tuntutan itu tidak sah di sisi undang-undang.

    Menurut Pengawal Pantai Jepun, latihan itu menandakan hari ke-214 berturut-turut kapal China dikesan belayar berhampiran pulau-pulau pertikaian yang ditadbir Tokyo yang dikenali sebagai Diaoyu di China dan Senkaku di Jepun.

    Ketiga-tiga negara turut menjalankan latihan ketenteraan bersama bagi memperkukuh kerjasama serantau.

    Minggu lalu, Tokyo dan Beijing bertikam lidah berhubung pertembungan rapat antara pesawat tentera mereka di ruang udara Lautan Pasifik.

    Jepun berkata aktiviti ketenteraan China yang semakin meningkat di Pasifik di mana kedua-dua kapal induk China dikesan beroperasi secara serentak buat kali pertama, menunjukkan hasrat Beijing untuk meningkatkan keupayaan operasi di kawasan jauh. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda