TOKYO, 26 MEI – Amerika Syarikat (AS) dan Jepun bersetuju dalam rundingan tarif terbaharu mereka untuk ‘mempercepatkan’ usaha ke arah pemeteraian perjanjian, kata Tokyo pada hari ini.
Jepun, sekutu utama AS dan pelabur terbesar AS, dikenakan tarif asas sebanyak 10 peratus yang sama seperti kebanyakan negara lain, selain tarif lebih tinggi ke atas kenderaan, besi keluli dan aluminium.
Presiden AS, Donald Trump, juga mengumumkan tarif sebanyak 24 peratus ke atas Jepun pada awal April, tetapi kemudiannya menangguhkan pelaksanaannya bersama dengan langkah serupa terhadap negara-negara lain sehingga awal Julai.
Jepun mahusemua tarif ke atas importnya yang diumumkan oleh Trump ditarik balik.
Ryosei Akazawa, utusan tarif Tokyo, mengadakan pusingan ketiga rundingan di Washington hujung minggu lalu dan dijangka kembali minggu ini.
Kedua-dua negara mengesahkan, “kami akan mempercepatkan usaha untuk merealisasikan pencapaian satu perjanjian yang saling menguntungkan,” kata jurucakap kerajaan tertinggi Jepun, Yoshimasa Hayashi, hari ini.
Perdana Menteri, Shigeru Ishiba kelmarin turut memuji ‘kemajuan’ yang dicapai dalam pusingan rundingan terbaharu Akazawa.
Ishiba berkata beliau menyasarkan untuk merangka sebuah perjanjian dengan Trump apabila kedua-dua pemimpin itu bertemu semasa mesyuarat tahunan Kumpulan Tujuh (G7) bulan depan di Kanada. – AFP


