TOKYO, 17 DIS – Pemimpin Asia Tenggara dan Jepun bersetuju hari ini untuk meningkatkan dialog dan kerjasama ‘keselamatan maritim’ ketika menghadapi desakan China yang semakin meningkat di rantau itu.
Beijing telah menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan, koridor perdagangan yang penting, dan peningkatan penempatan kapal dan kaedah lain terhadap kawasan yang dipertikaikan itu telah menimbulkan kemarahan negara di seluruh rantau tersebut termasuk Washington.
Jepun dan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) bersetuju untuk ‘memperkukuh dialog dan kerjasama bagi mengekalkan keselamatan dan ketenteraman maritim berdasarkan kedaulatan undang-undang, termasuk kebebasan dan keselamatan pelayaran, penerbangan dan perdagangan tanpa halangan,’ kata kenyataan bersama selepas sidang kemuncak di Tokyo.
Sekutu rapat Amerika Syarikat, Jepun, yang juga mempunyai pertikaian wilayah dan isu lain dengan China, meningkatkan perbelanjaan pertahanan dan telah memperluaskan kerjasama keselamatan dengan negara-negara di seluruh rantau Asia-Pasifik.
Jepun mengumumkan kelmarin ia akan mengeratkan hubungan dengan Malaysia dan menyediakan 400 juta yen untuk peralatan ‘amaran dan pengawasan.’
Jepun bersetuju bulan lalu untuk membantu Filipina membeli kapal pengawal pantai dan membekalkan sistem radar dengan kedua-dua pemimpin membincang untuk membenarkan penempatan tentera di negara masing-masing.
Jepun menyatakan kebimbangan berikutan kejadian minggu lalu yang melibatkan konfrontasi tegang terbaharu antara kapal Filipina dan China, termasuk perlanggaran dan kapal China yang telah menembak meriam air.
Presiden Filipina, Ferdinand Marcos, berkata dalam temu bual dengan penyiar awam Jepun NHK kelmarin, ‘keadaan di Laut China (Selatan) telah meningkat dan menjadi semakin rumit. – AFP


