MANILA, 20 OGOS – Jepun dan Australia dijangka bakal menyertai latihan ketenteraan Salaknib 2026, menandakan kali pertama latihan tahunan Filipina-Amerika Syarikat (AS), menurut pengesahan Tentera Darat Filipina, kelmarin.
Seorang jurucakap Tentera Darat Filipina, Kol Louie Dema-ala, berkata persidangan perancangan untuk Salaknib 2026 mengenal pasti Pasukan Pertahanan Diri Jepun (JSDF) dan Tentera Darat Australia sebagai sebahagian daripada latihan itu.
“Berdasarkan persidangan perancangan awal, ini akan menjadi aktiviti pertama yang melibatkan Jepun sebagai peserta aktif serta Australia, selepas Perjanjian Akses Timbal Balik,” kata Dema-ala.
Latihan Salaknib akan terus menggunakan nama sama, namun objektifnya diperluaskan daripada latihan dua hala Filipina-AS kepada kerjasama dengan rakan lain.
“Kami perlu meningkatkan tahap, dan dengan penyertaan Jepun dan Australia, kami boleh menangani cabaran dengan Tentera Darat Filipina secara lebih menyeluruh,” ujar Dema-ala.
Tambah beliau, fokus Salaknib 2026 akan merangkumi ‘spekter penuh’ latihan daripada personel dan sokongan logistik hingga perisikan, kawalan dan arahan, serta operasi siber. – ANN/ Philippine Daily Inquirer


