TOKYO, 15 JULAI – Jepun akan mengadakan Istiadat Pengebumian Negara pada musim luruh untuk Shinzo Abe yang maut ditembak minggu lalu ketika berkempen, kata Perdana Menteri Fumio Kishida pada Khamis.
Majlis peringatan itu sebagai penghormatan kepada Abe terhadap “kepimpinan dan kecemerlangan” yang ditunjukkannya sepanjang menjadi Perdana Menteri untuk tempoh lapan tahun dan lapan bulan dan acara berkenaan dijangka dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan, lapor Agensi Berita Kyodo.
Sebelum itu pada Selasa majlis pengebumian yang hanya dihadiri waris terdekat dan sahabat handai telah diadakan.
Istiadat Pengebumian Negara untuk pemimpin jarang diadakan.
Kali terakhir Jepun mengadakan majlis peringatan sedemikian pada 1967 untuk mendiang Shigeru Yoshida, yang berkhidmat sebagai perdana menteri ketika kebangkitan negara ini selepas Perang Dunia Kedua.
“Dengan pengebumian negara, kami bersedih dengan (kematian) bekas Perdana Menteri Abe dan kami berazam untuk mempertahankan demokrasi dan sama sekali tidak akan tunduk kepada keganasan,” kata Kishida pada sidang media.
Kematian Abe sejurus sebelum pemilihan Ahli Dewan Undangan Negeri pada Ahad menggemparkan negara yang terkenal dengan kawalan senjata api yang ketat dan keganasan politik jarang berlaku. – Bernama
