TOKYO, 8 APRIL – Jepun akan menghantar pesawat Pasukan Pertahanan Diri (SDF) yang membawa ubat-ubatan dan peralatan perubatan ke Myanmar, kata Menteri Pertahanan, Gen Nakatani kelmarin, sebagai sebahagian daripada usaha bantuan kepada negara Asia Tenggara itu selepas gempa bumi besar pada bulan lepas.
Menurut Agensi Berita Kyodo, pesawat pengangkut C-130 bersama kira-kira 20 anggota kru dan 2.5 tan barang perubatan dijadualkan berlepas dari pangkalan SDF di Wilayah Aichi di tengah Jepun ke Myanmar pada Selasa, kata Nakatani kepada wartawan di Tokyo.
Pesawat itu dijangka tiba pada Rabu di Mandalay, bandar kedua terbesar di Myanmar, yang terletak berhampiran pusat gempa berukuran 7.7 pada skala Richter pada 28 Mac, untuk menyerahkan barang-barang tersebut kepada pasukan perubatan Jepun sebelum kembali ke Jepun, menurut Kementerian Pertahanan.
“C-130 ini akan membolehkan kami menghantar barang dan peralatan perubatan yang diperlukan dengan lebih cepat dan pasti,” kata Nakatani, sambil menambah bahawa Jepun akan terus menyokong rakyat Myanmar.
Ini akan menjadi penghantaran pertama SDF ke negara asing bagi misi bantuan sejak 2023, ketika gempa bumi kuat melanda Turkiye dan Syria yang berdekatan, menurut kementerian itu.
Keputusan untuk menghantar bantuan itu dibuat walaupun kebimbangan keselamatan akibat perang saudara antara etnik masih wujud. Nakatani berkata beliau percaya SDF boleh mengangkut barang-barang itu ke Myanmar dengan selamat dan tidak berfikir keadaan tempatan semakin buruk.
Beliau juga berkata kerajaan telah mendapat kebenaran junta untuk penerbangan tersebut, walaupun komunikasi dengan mereka adalah pada, “tahap paling minimum.” Beliau turut menekankan bahawa Jepun kekal dengan pendirian untuk tidak mengiktiraf kesahihan rampasan kuasa tentera Myanmar.
Jumlah korban akibat gempa bumi itu telah meningkat melebihi 3,500 orang, dengan lebih 5,000 orang cedera, menurut junta.- Bernama/Kyodo
