Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jepun batal pelancaran roket baharu

    TOKYO, 17 FEB – Agensi angkasa lepas Jepun hari ini membatalkan pelancaran sulung roket H3 generasi akan datang selepas enjin penggalak tambahan gagal menyala, kata pegawai.

    Enjin utama roket itu, yang membawa satelit pemerhatian dan sensor eksperimen untuk mengesan pelancaran peluru berpandu, telah pun dinyalakan apabila pelancaran dihentikan, kata Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun.

    “Saya tahu ramai yang menunggu dan menantikan hari ini. Saya minta maaf. Kami juga berasa amat menyesal dan kecewa,” kata pengurus projek JAXA, Masashi Okada pada sidang akhbar sambil mengesat air matanya.

    Okada menyifatkan ia sebagai pelancaran yang dibatalkan, bukan kegagalan, kerana ia ditunda akibat ciri keselamatan yang berfungsi dengan baik.

    Namun, pelancaran yang tidak berjaya di Pusat Angkasa Tanegashima di selatan Jepun merupakan kelemahan dalam program angkasa Jepun, yang mengalami kegagalan pelancaran awal pada bulan Oktober bagi roket berbahan api siri Epsilon yang lebih kecil yang direka untuk melancarkan satelit saintifik.

    Pelancaran H3 telah ditangguhkan sejak awal minggu ini disebabkan cuaca buruk selepas penangguhan lebih dua tahun dari 2020 kerana kelewatan pembangunan enjin.

    Roket H3 siri baharu Jepun yang pertama dalam tempoh lebih 22 tahun dibangunkan dengan kos 200 bilion yen (AS$1.5 bilion) oleh JAXA dan Mitsubishi Heavy Industries sebagai pengganti roket H-2A Jepun.

    Okada berkata enjin utama H3 berjaya dinyalakan, tetapi isyarat seterusnya untuk menyalakan sepasang penggalak tambahan tidak dihantar selepas keabnormalan yang tidak dikenal pasti dikesan dalam proses itu. Beliau berkata masalah itu tidak berkaitan dengan enjin tetapi berkemungkinan besar dalam sistem elektrik pada peringkat pertama. – AP

    Gambar fail menunjukkan roket H3 terletak di pad pelancaran di Pusat Angkasa Tanegashima di Kagoshima, selatan Jepun. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda