Sunday, May 11, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jepun belasah Thailand menjelang Piala Asia

    TOKYO, 1 JAN – Jepun bersiap sedia untuk Piala Asia dengan kemenangan 5-0 ke atas Thailand di Tokyo hari ini, ketika jurulatih, Hajime Moriyasu bersedia untuk mengumumkan skuadnya bagi kejohanan itu.

    Moriyasu menurunkan barisan pemain yang kurang berpengalaman tanpa beberapa pemain yang berada di luar negara ketika menentang pasukan Thailand yang juga menuju ke Qatar untuk Piala Asia, dijadual bermula pada 12 Januari.

    Ao Tanaka memecah kebuntuan untuk juara Asia empat kali itu lima minit memasuki separuh masa kedua, di hadapan lebih 60,000 penonton pada Hari Tahun Baharu.

    Keito Nakamura menambah gol kedua sebelum gol sendiri Thailand, satu lagi gol hasil tandukan daripada Takumu Kawamura dan gol lewat Takumi Minamino melengkapkan jaringan.

    Moriyasu dijadualkan untuk mengumumkan skuad 26 pemainnya selepas perlawanan, dengan pemain sayap Brighton yang cedera, Kaoru Mitoma diragui akan dipilih.

    Aksi Mao Hosoya (kiri) semasa perlawanan persahabatan bola sepak antarabangsa Hari Tahun Baharu di Stadium Nasional di Tokyo pada 1 Januari. – AFP

    Pemain berusia 26 tahun itu diketepikan sehingga enam minggu selepas cedera pergelangan kakinya ketika Brighton seri 1-1 dengan Crystal Palace pada 21 Disember.

    Pemain tengah Liverpool, Wataru Endo dan pertahanan Arsenal, Takehiro Tomiyasu dijangka akan dipilih untuk kejohanan itu, bersama pemain tengah serangan Real Sociedad, Takefusa Kubo.

    Moriyasu melakukan pertukaran pada separuh masa dan mereka tidak lama kemudian memberikan impak, dengan Tanaka merembat masuk pada minit ke-50.

    Thailand menjaringkan gol ke gawang sendiri selepas tendangan sudut tiga minit kemudian, sebelum pemain gantian Kawamura menjaringkan gol pada penampilan sulungnya.

    Minamino meledak gol dari jarak dekat pada masa kecederaan untuk menyumbang gol kelima Jepun. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda