Jepun berdepan cabaran pulihkan ekonomi

TOKYO, 2 NOV – Selepas berakhirnya pilihan raya umum, Jepun kini berdepan satu lagi cabaran besar iaitu untuk memulihkan ekonominya yang terjejas akibat COVID-19.

Tinjauan ekonomi mendapati terdapat ketidaksamaan meluas dalam kalangan syarikat dan isi rumah serta harga minyak mentah yang lebih tinggi, lapor agensi berita Jiji Press.

Ketika kempen pilihan raya, parti pemerintah dan pembangkang berjanji untuk mengagihkan kekayaan dan mengurangkan cukai.

Tetapi kedua-dua pihak dilihat gagal membentangkan visi yang jelas mengenai cara mencapai pertumbuhan ekonomi yang mencukupi bagi menyediakan sumber pembia-yaan mampan untuk langkah tersebut.

Bulan lepas, Bank of Japan menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi negara untuk fiskal 2021 kepada 3.4 peratus berbanding 3.8 peratus, disebabkan kekangan bekalan dan kelembapan tahap penggunaan akibat pandemik.

Kelihatannya sukar untuk kerajaan mencapai matlamat mengembalikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ke tahap sebelum pandemik, menjelang akhir tahun ini.

Eksekutif Ekonomi di Nomura Research Institute Ltd, Takahide Kiuchi berkata harga minyak mentah yang lebih tinggi dan kejatuhan yen ‘boleh menjejaskan pemulihan dalam penggunaan domestik dan ekonomi.’

Jumlah kebankrapan korporat akibat pandemik mencecah rekod bulanan tertinggi pada September dan Oktober, menurut data firma penyelidikan kredit, Tokyo Shoko Research Ltd. – Bernama