Monday, March 3, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jepun bergelut kawal kebakaran hutan terbesar

    TOKYO, 2 MAC – Jepun sedang bergelut mengawal kebakaran hutan terbesar dalam tempoh lebih tiga dekad kelmarin, salah satu daripada beberapa kebakaran yang telah membunuh seorang dan memaksa lebih 1,000 orang dipindahkan.

    Api dianggarkan merebak lebih kurang 1,200 hektar di hutan Ofunato di wilayah utara Iwate sejak kebakaran berlaku Rabu lalu, menurut Agensi Pengurusan Bomba dan Bencana.

    “Kami masih memantau saiz kawasan yang terjejas, tetapi ia adalah yang terbesar sejak kebakaran hutan 1992 di Kushiro, Hokkaido,” kata seorang jurucakap agensi kepada AFP.

    Menurut rekod sebelumnya, kebakaran itu memusnahkan kawasan seluas 1,030 hektar.
    Kira-kira 1,700 anggota bomba dikerahkan dari seluruh negara, kata agensi itu.

    Rakaman udara daripada penyiar awam NHK menunjukkan kepulan asap putih menyelubungi seluruh gunung.

    Polis tempatan menemui mayat seorang individu yang telah terbakar Khamis lalu.

    Lebih 1,000 penduduk berhampiran telah dipindahkan dan lebih 80 bangunan telah musnah setakat Jumaat lalu, menurut perbandaran Ofunato. – AFP

    Gambar menunjukkan kepulan asap yang menjulang daripada kebakaran hutan berhampiran bandar Ofunato, Wilayah Iwate pada 27 Februari. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda