TOKYO, 27 MEI – Jepun hari ini mengumumkan satu pakej langkah bernilai lebih daripada AS$15 bilion bagi melindungi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) daripada kesan tarif Amerika Syarikat (AS).
Sebagai sekutu rapat Washington, Jepun turut tertakluk kepada tarif asas 10 peratus yang dikenakan oleh Presiden Donald Trump terhadap kebanyakan negara, selain cukai yang lebih tinggi ke atas kenderaan, keluli dan aluminium.
Pakej bernilai AS$15.5 bilion itu merangkumi bantuan pembiayaan korporat dan pelonggaran syarat pinjaman melalui institusi pinjaman yang disokong kerajaan, menurut Ketua Setiausaha Kabinet Yoshimasa Hayashi.
“Kami akan memberikan sokongan penuh kepada perusahaan kecil dan sederhana yang terjejas akibat tarif AS,” kata Hayashi dalam satu sidang media.
Trump turut mengumumkan tarif ‘timbal balik’ sebanyak 24 peratus ke atas Jepun pada awal April, namun kemudian menangguhkan pelaksanaannya bersama beberapa langkah serupa ke atas negara lain sehingga awal Julai.
Jepun mahu semua tarif yang dikenakan Trump ke atas eksportnya ke AS dimansuhkan, dengan utusan tarif kerajaan dijangka kembali ke Washington minggu ini untuk pusingan keempat rundingan.
Perdana Menteri Shigeru Ishiba sebelum ini menyatakan hasratnya untuk mencapai persetujuan bersama Presiden AS itu apabila mereka bertemu dalam sidang Kumpulan Tujuh (G7) di Kanada bulan depan.
Tarif 25 peratus ke atas kenderaan yang diumumkan Trump amat membebankan Tokyo memandangkan sekitar lapan peratus daripada jumlah pekerjaan di Jepun berkait rapat dengan sektor automotif.
Ekonomi keempat terbesar dunia itu menguncup sebanyak 0.2 peratus pada suku pertama 2025, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap Ishiba yang semakin tidak popular menjelang pilihan raya Dewan Negara yang dijangka berlangsung pada bulan Julai.
Kerajaan turut mengumumkan hari ini beliau akan membelanjakan 288 bilion yen untuk membantu isi rumah menghadapi kenaikan mendadak harga elektrik dan gas sepanjang tiga bulan sehingga September, ketika penggunaan penyaman udara dijangka melonjak akibat cuaca panas melampau.
Bantuan yang dirancang itu dijangka mengurangkan bil utiliti sebanyak 3,000 yen bagi setiap keluarga dalam tempoh tersebut, kata Hayashi, sambil menambah ia juga sebahagian daripada usaha menangani kesan tarif AS dan inflasi. – AFP


