Wednesday, March 19, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jepun berpeluang layak ke Piala Dunia 2026

    HONG KONG, 18 MAC – Jepun berpeluang menjadi pasukan pertama yang layak ke Piala Dunia 2026 minggu ini, sementara Son Heung-min akan cuba melupakan kesukaran bersama Tottenham dengan membawa Korea Selatan ke pusingan final.

    Negara-negara Asia akan beraksi dalam dua perlawanan kelayakan, pada Khamis dan Selasa, ketika kelayakan untuk kejohanan 48 pasukan di Amerika Utara memasuki fasa awal perlawanan di rantau ini.

    Jepun akan mengesahkan tempat mereka dengan baki tiga perlawanan kelayakan jika, seperti yang dijangka, mereka menewaskan Bahrain di laman sendiri di Saitama pada Khamis.

    Sekalipun jika mereka gagal, kelayakan ke Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico hanya menunggu masa, kerana mereka turut memiliki satu lagi perlawanan di laman sendiri menentang Arab Saudi minggu depan.

    Skuad bimbingan Hajime Moriyasu kini sembilan mata di hadapan Australia di tangga teratas Kumpulan C selepas mencatat lima kemenangan dan satu seri dalam enam perlawanan kelayakan, dengan 22 gol dijaringkan dan hanya dua bolos.

    Aksi Wataru Endo (kanan) melakukan percubaan ke arah gol dalam perlawanan pusingan 16 terbaik Piala Dunia Qatar 2022 antara Jepun dan Croatia, pada 5 Disember 2022. – AFP

    Moriyasu telah menyenaraikan skuad terkuatnya yang diketuai oleh pemain Liverpool, Wataru Endo dan bintang Brighton, Kaoru Mitoma, tetapi mengakui masih ramai pemain lain yang layak dipanggil.

    “Terdapat ramai pemain yang menunjukkan bakat mereka di J. League dan di Eropah, dan mereka tidak akan kelihatan janggal dalam skuad ini,” katanya.

    Terdapat tiga kumpulan dalam pusingan ketiga kelayakan Asia untuk Piala Dunia 2026, di mana dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak secara automatik ke kejohanan tersebut.

    Jepun kini berada dalam kedudukan selesa dengan 16 mata dan baki empat perlawanan, tetapi persaingan untuk tempat kedua dalam kumpulan itu masih terbuka luas.

    Australia mengumpul tujuh mata, manakala Indonesia, Arab Saudi, Bahrain dan China masing-masing memiliki enam mata. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda