TOKYO, 1 Ogos – Kerajaan Jepun hari ini berkata ia berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan seorang wartawan Jepun yang dipercayai ditahan di Syria selepas video seorang lelaki yang nampaknya adalah wartawan itu tular di Internet.
Kali terakhir wartawan bebas Jumpei Yasuda dilihat dia berada di Syria pada Jun 2015.
Ketua Jurucakap Kabinet Yoshihide Suga memberitahu sidang berita biasa bahawa dia percaya lelaki di dalam video itu adalah Yusada. Suga enggan memberi butiran lanjut tentang usaha menyelamat itu.
“Tanggungjawab terbesar kerajaan ialah melindungi keselamatan warganegara Jepun,” ujarnya.
“Kami sedang berusaha sedaya upaya bagi penyelamatannya menerusi pelbagai rangkaian maklumat.”

Lelaki dalam video yang disiarkan itu semalam mengatakan dia dalam persekitaran teruk dan perlu diselamatkan segera. Lelaki berjambang bercakap dalam Bahasa Jepun tetapi berkata nama Koreanya ‘Umaru’. Dia menyatakan tarikh 25 Julai 2018 dalam rakaman 20 saat yang jelas dirakamkan di luar.
Beberapa video menunjukkan seorang lelaki dipercayai sebagai Yasuda juga telah dikeluarkan tahun lalu.
Yasuda mula membuat laporan tentang Timur Tengah pada awal 2000an. Dia telah dijadikan tebusan di Iraq dalam tahun 2004 bersama tiga orang lagi warga Jepun, tetapi dibebaskan selepas pemimpin-pemimpin Islam merundingkan pembebasannya.
Terbaharu, dia telah pergi ke Syria dalam tahun 2015 untuk melaporkan tentang rakan wartawannya Kenji Goto yang dijadikan tebusan dan dibunuh oleh kumpulan pelampau Islamic State (IS) .
Komunikasi dengan Yauda terputus selepas satu mesej kepada seorang lagi wartawan bebas Jepun pada 23 Jun 2015. Dua hari sebelumnya melalui Twitter, Yasuda berkata laporannya kerap dihalang dan dia akan berhenti menggunakan Twitter mengenai di mana keberadaannya dan kegiatannya. – AP