Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jepun-Brunei kukuhkan hubungan dua hala

    Oleh Ak Zaki Kasharan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Pelbagai perkara telah dibincangkan semasa lawatan kerja Menteri Luar Negeri Jepun, Puan Yang Terutama Kamikawa Yoko ke Negara Brunei Darussalam, termasuk mengenai jalinan hubungan dua hala antara Jepun dan Brunei.

    Di samping membincangkan perkara yang boleh meningkatkan hubungan dua hala, lawatan kali ini turut membincangkan mengenai hubungan Jepun bersama negara-negara ASEAN yang mencapai 50 tahun usaha kerjasama.

    Perkara tersebut dikongsikan oleh Setiausaha Akhbar Kementerian Hal Ehwal Luar Jepun, Maki Kobayashi-Terada semasa mengadakan sesi perjumpaan bersama pengamal media tempatan di salah sebuah restoran di Gadong.

    Juga hadir sama semasa sesi perjumpaan tersebut ialah Kaunselor dan Timbalan Ketua Misi Jepun di Negara Brunei Darussalam, Suda Atsushi.

    PYT Kamikawa Yoko semasa berada di negara ini turut mengulas mengenai komitmen Jepun dalam pelbagai perkara termasuklah dalam mendukung usaha menangani isu perubahan iklim yang dihadapi global ketika ini.

    Maki Kobayashi-Terada semasa ditemu bual para pengamal media tempatan di salah sebuah restoran di Gadong. – Gambar oleh Ak Zaki Kasharan

    Puan Yang Terutama pada bulan lalu menggantikan Yoshimasa Hayashi selaku Menteri Luar Negeri Jepun yang baharu sebagai salah seorang daripada lima wanita dalam kabinet baharu di mana beliau merupakan menteri luar wanita pertama Jepun dalam tempoh 19 tahun yang lalu.

    Ini merupakan kunjungan pertama Puan Yang Terutama ke negara ini dan lawatan ke luar negara yang julung kalinya sejak memegang jawatan pada September lalu.

    Semasa berada di negara ini, Puan Yang Terutama berpeluang mengadakan majlis mengadap kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Istana Nurul Iman, petang tadi.

    Bersempena lawatannya ke negara ini, beliau juga berkesempatan mengadakan beberapa perjumpaan bersama rakan sejawatannya, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof serta komuniti rakan perniagaan Jepun yang berada di negara ini.

    Seusai kunjungan lawatan kerja ke Brunei, Puan Yang Terutama akan meneruskan lawatannya ke Vietnam dan Laos sebelum mengakhiri lawatan ke Thailand.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda