Tuesday, April 22, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jepun buat persiapan pelepasan air radioaktif

    TOKYO, 30 JUN – Ketua agensi nuklear PBB akan melawat Jepun minggu depan untuk bertemu dengan pemimpin Jepun dan melihat persiapan terakhir bagi pelepasan air sisa radioaktif yang dirawat daripada loji nuklear Fukushima yang terjejas ke Lautan Pasifik, kata pegawai, hari ini.

    Kerajaan Jepun berharap lawatan ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa, Rafael Mariano Grossi akan memberikan kredibiliti kepada pelan pelepasan tersebut. Namun, ia telah ditentang keras oleh kumpulan nelayan tempatan dan oleh negara jiran Korea Selatan, China dan beberapa negara Pulau Pasifik atas kebimbangan keselamatan.

    Grossi akan melawat Jepun 4 hingga 7 Julai, kata Menteri Luar Jepun, Yoshimasa Hayashi.

    Beliau dijangka bertemu dengan Hayashi, Menteri Perindustrian, Yasutoshi Nishimura dan Perdana Menteri, Fumio Kishida dan melawat loji Fukushima, yang musnah akibat gempa bumi dan tsunami besar pada 2011.

    “Jepun sangat mementingkan usaha IAEA, yang memainkan peranan penting dalam menggalakkan percambahan nuklear dan penggunaan tenaga nuklear secara aman. Kami berharap dapat mengukuhkan lagi hubungan antara Jepun dan IAEA melalui lawatan itu,” kata Hayashi.

    Pengendali loji, Tokyo Electric Power Company Holdings, telah menyiapkan pembinaan peralatan yang diperlukan bagi pelepasan yang dirancang, dan pengawal selia Jepun sedang menyelesaikan pemeriksaan terakhir mereka hari ini. Jika semuanya berjalan lancar, TEPCO dijangka menerima permit dalam masa kira-kira seminggu untuk memulakan pelepasan, walaupun tarikh mula masih belum diputuskan, menurut Pihak Berkuasa Peraturan Nuklear.

    Aktivis alam sekitar di Seoul, Korea Selatan, melakukan protes di luar Kedutaan Besar Jepun hari ini sebagai bentuk penolakan terhadap rancangan tersebut. – AP

    Aktivis alam sekitar membantah keputusan kerajaan Jepun melepaskan air sisa radioaktif yang dirawat dari loji kuasa nuklear Fukushima yang terjejas, berhampiran bangunan yang menempatkan Kedutaan Jepun di Seoul, Korea Selatan pada 30 Jun. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda