KUALA LUMPUR, 19 Sept – Jepun menyasarkan pemasangan 29 juta meter pintar dalam tempoh dua tahun akan datang selepas mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyatnya apabila ia berjaya memasang 17 juta unit meter berkenaan di negara itu setakat ini.
Ini berikutan penggunaan meter berkenaan telah membantu para pengguna di negara Matahari Terbit itu menjadi semakin bijak dalam menggunakan tenaga elektrik secara lebih efisien.
Justeru itu, syarikat utilitinya, Tokyo Electric Power Company (Tepco), yang bertanggungjawab memasang meter pintar tersebut yakin tidak akan ada sebarang halangan untuk meningkatkan jumlah pemasangan meter berkenaan kepada 29 juta unit, menjelang 2020.
“Kami berhasrat untuk memasang kira-kira 29 juta meter pintar menjelang 2020,” kata Naib Presiden Eksekutif Tepco, Dr. Hiroshi Okamoto pada sidang akhbar selepas menjadi ahli panel pada sesi bertajuk Pendigitalan Industri Pembekalan Elektrik (ESI) dan Revolusi Perusahaan 4.0 di Persidangan Industri Bekalan Tenaga Elektrik (CEPSI 2018), di sini, hari ini.
CEPSI 2018 yang bertemakan ‘Reimagining Utility of the Future’ dihoskan oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi pihak Persatuan Industri Bekalan Elektrik Asia Timur dan Pasifik Barat (AESIEAP) dan berlangsung selama enam hari dari 17-22 September di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Dr. Okamoto berkata, keupayaan meter pintar memberikan maklumat mengenai jumlah penggunaan elektrik pada setiap setengah jam, membolehkan para pengguna merancang dan mengubah tabiat penggunaan elektrik mengikut keperluan masing-masing.
Menurutnya, setakat ini tidak timbul kebimbangan terhadap kesan gelombang dan frekuensi radio daripada meter pintar yang dipasang di premis pengguna di negara itu.
Di Malaysia pula, TNB ketika ini sedang melaksanakan pemasangan 310,000 unit meter pintar di negeri Melaka secara berperingkat mengikut daerah sejak Januari lalu, sebelum meluaskannya kepada 8.8 juta pengguna di seluruh Semenanjung. – Bernama