TOKYO, 9 JUN – Walaupun bertahun-tahun usaha giat dilakukan untuk tingkatkan kadar kelahiran Jepun yang rendah secara kronik, statistik terkini masih menunjukkan hanya sedikit membuahkan hasil.
Menurut statistik 2024, bilangan anak damit yang dilahirkan warga Jepun jatuh di bawah 700,000 buat kali pertama. Jumlah kadar kesuburan atau purata bilangan anak yang dijangkakan oleh seorang wanita sepanjang hayatnya pula telah merosot ke paras terendah iaitu 1.15.
Rasa panik pula tercetus di kalangan kerajaan pusat dan tempatan di sebalik pelbagai usaha termasuk pemberian wang tunai, pendidikan sekolah menengah percuma dan beberapa polisi lain masih gagal untuk mengubah penurunan berkenaan.
Gabenor Tokyo, Yuriko Koike melahirkan rasa kecewa dengan statistik yang dikemukakan Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan baru-baru ini, tetapi berjanji untuk terus menangani isu itu.
Kerajaan metropolitan Tokyo telah mengisytiharkan bahawa usaha memerangi kadar kelahiran rendah telah menjadi satu keutamaan yang tinggi dan telah melancarkan pelbagai usaha seperti penjagaan taska percuma dan elaun ¥5,000 sebulan kepada isi rumah yang mempunyai anak berumur sehingga 18 tahun.

Namun, di sebalik langkah tersebut, kadar kesuburan bagi wanita yang tinggal di ibu negara telah berada di bawah angka 1 selama dua tahun berturut-turut dan merosot kepada 0.96 pada 2024.
Bilangan pasangan yang berkahwin pada 2024 meningkat buat kali pertama dalam tempoh dua tahun.
Tetapi dengan kira-kira 480,000 pasangan telah berkahwin, angka tersebut masih jauh di bawah hampir 600,000 pasangan yang berkahwin pada 2019. Jumlah tersebut menjunam pada tahun berikutnya apabila wabak COVID-19 meletus.
Manakala, purata umur wanita melahirkan anak damit yang pertama ialah 31 tahun, kira-kira lima tahun lebih tua daripada umur purata pada 1975 iaitu 25.7.
Penghijrahan wanita muda ke Tokyo dan pusat bandar utama yang lain dari kawasan luar bandar telah dikenal pasti sebagai pemacu utama penurunan tersebut.
Di bandar-bandar besar, ramai wanita muda berkata mereka tidak dapat fikir untuk berkahwin kerana terlalu sibuk dengan pekerjaan atau bekerja sebagai pekerja sambilan.
“Kawasan luar bandar mesti mencari cara untuk meningkatkan peluang pekerjaan yang menggalakkan wanita memilih untuk tinggal di sana,” kata Kanako Amano, penyelidik kanan di Institut Penyelidikan NLI. “Saya menggesa kerajaan untuk menumpukan sumber untuk memastikan pekerjaan yang stabil supaya membolehkan lelaki dan wanita muda berkahwin dan mempunyai anak.”
Selain itu, sesetengah syarikat juga telah menghasilkan keputusan yang positif dengan mengubah suasana persekitaran tempat bekerja.
People Co, syarikat pengeluar mainan yang berpangkalan di Tokyo menggalakkan pekerja membawa anak ke pejabat supaya mereka boleh bekerja sambil memerhatikan anak bermain di pejabat.

Langkah tersebut berhasil apabila sembilan daripada kira-kira 45 pekerja syarikat berkenaan sedang membesarkan anak-anak pada 2019 dan bilangannya meningkat kepada 17 tahun ini.
Profesor Haruka Shibata, seorang pakar dalam sosiologi dari Universiti Kyoto berkata pengiraan daripada data yang dikumpulkan dari negara lain telah menunjukkan bahawa penambahan elaun pembesaran anak boleh meningkatkan kadar kesuburan kira-kira 0.1 peratus.
Namun, mengurangkan waktu bekerja untuk lelaki sebanyak dua jam setiap hari boleh meningkatkan kadar sebanyak 0.35 peratus.
Strategi Masa Depan Kanak-kanak yang diluluskan oleh kabinet pada 2023 juga menyatakan bahawa mengurangkan waktu bekerja boleh memberi orang ramai masa yang cukup untuk menumpukan kepada penjagaan anak-anak dan kerja-kerja di rumah.
“Kerajaan harus membincangkan langkah-langkah seperti mengurangkan waktu kerja dan juga pertimbangkan cara orang bekerja,” kata Shibata. – ANN

