Tuesday, April 22, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jepun catat kadar kelahiran terendah tahun ke-9 berturut-turut

    TOKYO, 27 FEB – Kelahiran di Jepun mencatatkan rekod terendah baharu pada tahun 2024, jatuh untuk tahun kesembilan berturut-turut, apabila golongan muda menangguhkan perkahwinan sementara populasi warga emas semakin meningkat, menurut data kerajaan yang dikeluarkan hari ini.

    Angka-angka itu menonjolkan cabaran demografi yang ketara yang dihadapi ekonomi terbesar keempat dunia, di mana tenaga kerja yang semakin mengecil terpaksa menanggung kos penjagaan populasi warga emas yang semakin meningkat.

    Pada 2024, seramai 720,988 anak damit dilahirkan di Jepun, termasuk daripada warganegara asing, menurun lima peratus berbanding 758,631 pada tahun 2023, menurut data awal kementerian kesihatan.

    Jumlah kelahiran itu adalah yang terendah sejak kerajaan mula mengesan data tersebut pada tahun 1899.

    Jumlah kematian melebihi dua kali ganda kelahiran, meningkat 1.8 peratus berbanding tahun 2023 kepada 1.62 juta.

    Gambar fail AP

    Jumlah populasi keseluruhan Jepun pada bulan ini mencapai 123.54 juta, menurun sebanyak 0.46 peratus berbanding tahun lalu, menurut data daripada kementerian urusan dalam negeri yang dikeluarkan minggu lalu.

    Data kelahiran itu memberi perbandingan ketara dengan Korea Selatan.

    Data yang dikeluarkan kelmarin menunjukkan bahawa jumlah anak damit yang dilahirkan bagi setiap 1,000 orang meningkat pada tahun 2024, kali pertama dalam lebih satu dekad.

    Kelahiran di Jepun pernah mencapai puncaknya sebanyak 2.1 juta pada tahun 1973.

    Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba telah menyatakan bahawa menangani krisis populasi adalah antara keutamaan utama beliau.

    Namun, kos pendidikan yang tinggi, ekonomi tidak stabil dan perubahan gaya hidup telah menghalang golongan muda untuk membina keluarga. – AFP 

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda