TOKYO, 17 JULAI – Jepun mencatatkan defisit dagangan sebanyak AS$15 bilion bagi separuh pertama tahun ini, menurut data kerajaan yang dikeluarkan hari ini, berikutan eksport negara itu terjejas akibat tarif dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Pada bulan Jun, eksport Jepun menurun sebanyak 0.5 peratus berbanding tahun sebelumnya selepas penghantaran kenderaan dan barangan lain dikenakan tarif sebanyak 25 peratus. Trump telah menangguhkan pelaksanaan tarif import yang lebih tinggi itu sehingga 1 Ogos bagi memberi ruang kepada rundingan, namun setakat ini tiada perjanjian dicapai.
Eksport pada bulan Jun berjumlah hampir AS$62 bilion, menandakan penurunan bagi bulan kedua berturut-turut. Import pada bulan yang sama meningkat 0.2 peratus kepada AS$61 bilion, menurut Kementerian Kewangan Jepun. Ia menghasilkan lebihan dagangan melebihi AS$1 bilion. Defisit dagangan pada bulan Mei pula berjumlah AS$4.4 bilion.
Eksport Jepun ke AS merosot sebanyak 11 peratus pada bulan Jun, dengan eksport kereta jatuh mendadak sebanyak 25 peratus. Penghantaran ke China juga menurun hampir 5 peratus. Eksport ke Mexico – sebuah hab pemasangan kereta utama bagi pengeluar automotif Jepun di Amerika Utara – turut merosot hampir 20 peratus.
Bagi separuh pertama tahun ini, jumlah eksport Jepun berjumlah AS$360 bilion, meningkat 3.6 peratus, manakala import pula meningkat 1.3 peratus kepada AS$375 bilion. – AP
