TOKYO, 18 JUN – Eksport Jepun merosot pada Mei berikutan penghantaran kenderaan ke Amerika Syarikat (AS) menyusut hampir 25 peratus berbanding tahun sebelumnya disebabkan tarif yang lebih tinggi yang dikenakan oleh Presiden Donald Trump.
Eksport jatuh 1.7 peratus tahun ke tahun, kurang daripada ramalan kemerosotan yang diunjurkan oleh penganalisis, lapor Kementerian Kewangan hari ini.
Import merosot 7.7 peratus, mencerminkan permintaan dalam negeri yang semakin lemah dan lebih teruk daripada kejatuhan 2 peratus yang dicatatkan pada April.
Defisit perdagangan pada Mei mencecah 637.6 bilion yen, atau AS$4.4 bilion.
Jepun masih belum mencapai perjanjian dengan Trump untuk menyelesaikan isu tarif, dengan Perdana Menteri Shigeru Ishiba berkata selepas beliau bertemu dengan presiden AS pada sidang kemuncak Kumpulan Tujuh di Kanada awal minggu ini bahawa kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan dalam beberapa perkara.
Trump telah mengenakan tarif tambahan sebanyak 25 peratus ke atas kereta Jepun dan tarif 24 peratus ke atas barangan lain. Beliau baru-baru ini berkata tarif kereta mungkin meningkat lebih tinggi.
Ishiba telah menekankan bahawa Jepun adalah sekutu penting dalam pakatan pertahanan dua hala utama dengan Washington dan beliau sedang berusaha untuk melindungi kepentingan negaranya sendiri.
Industri auto adalah tonggak ekonomi Jepun, dan Jepun mengeksport lebih daripada sejuta kenderaan ke AS setahun. Tokyo telah berulang kali menegaskan bahawa pembuat kereta seperti Toyota dan Honda mengeluarkan kereta di Amerika Utara, menyumbang kepada ekonomi dan mewujudkan pekerjaan. – AP


