Friday, October 18, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jepun catat jumlah warga asing tertinggi

    TOKYO, 25 JULAI – Jumlah warga asing yang tinggal di Jepun telah mencapai rekod tertinggi, menurut data rasmi yang dikeluarkan kelmarin.

    Data tersebut turut menunjukkan penurunan terbesar dalam jumlah warganegara Jepun dalam tempoh setahun.

    Dengan kadar kelahiran yang rendah secara kronik, Jepun mempunyai populasi kedua tertua di dunia selepas Monaco.

    Perdana Menteri Fumio Kishida telah memperkenalkan dasar yang bertujuan meningkatkan kelahiran, memberi amaran bahawa negara itu ‘berada di ambang risiko sama ada boleh terus berfungsi sebagai masyarakat atau sebaliknya’.

    Kerajaan Jepun kini turut mengkaji semula dasar imigresen untuk menjadikan perpindahan ke Jepun lebih menarik kepada pekerja asing.

    Sehingga 1 Januari, terdapat 3.32 juta penduduk asing dicatatkan di negara itu, menurut data tersebut.

    Ini menandakan peningkatan sebanyak 11 peratus tahun ke tahun dan rekod tertinggi sejak Kementerian Hal Ehwal Dalaman mula mencatatkan data itu pada 2013.

    Warga asing menyumbang sekitar 2.7 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Jepun yang berjumlah 124.9 juta orang.

    Media Jepun mengaitkan peningkatan itu dengan berakhirnya kawalan sempadan era pandemik, yang mendorong pemulangan pelajar antarabangsa dan pekerja yang mengambil bahagian dalam skim latihan vokasional kerajaan. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda