TOKYO, 16 APRIL – Bilangan pelawat asing ke Jepun pada Mac meningkat 13.5 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada rekod 3.5 juta orang bagi bulan itu, menurut data rasmi hari ini, menekankan bahawa ledakan pelancongan di negara Asia itu kekal kukuh, lapor Agensi Berita Kyodo.
Perbelanjaan pengembara asing berjumlah 2.3 trilion yen (AS$16 bilion) dalam tempoh tiga bulan dari Januari, meningkat 28.4 peratus daripada tempoh yang sama tahun lepas.
Ini didorong oleh perbelanjaan yang lebih tinggi untuk makanan dan penginapan, menurut anggaran awal Agensi Pelancongan Jepun.
Mengikut negara dan wilayah, Korea Selatan mendahului jumlah pelawat dengan 691,700 orang, meningkat 4.3 peratus, diikuti China, yang mencatatkan peningkatan 46.2 peratus kepada 661,700, menurut Pertubuhan Pelancongan Kebangsaan Jepun yang bersekutu dengan kerajaan.
Jumlah kumulatif pelawat untuk 2025 mencecah 10.5 juta pada suku pertama hingga Mac, meningkat 23.1 peratus, menandakan kadar terpantas dalam rekod melepasi 10 juta.
Permintaan perjalanan ke Jepun meningkat pada Mac dengan bermulanya musim bunga sakura, kata organisasi itu. – Bernama
