TOKYO, 30 JULAI – Jepun mencatat suhu tertinggi baharu 41.2 darjah Celsius (C) hari ini, dengan mercuri turut mencecah 40°C di bekas ibu kota kuno, Kyoto, buat kali pertama sejak pencatatan suhu dilakukan.
Suhu global meningkat secara mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini akibat perubahan iklim yang membawa corak cuaca semakin tidak menentu, dan Jepun tidak terkecuali.
Rekod baharu di wilayah barat Hyogo itu mengatasi catatan terdahulu 41.1°C yang direkodkan di Hamamatsu pada 2020 dan Kumagaya pada 2018, menurut Jabatan Kajicuaca Jepun (JMA).
Rekod ini berlaku pada hari yang sama Jepun turut berada dalam keadaan berjaga-jaga terhadap tsunami susulan gempa bumi kuat berukuran 8.8 magnitud yang melanda timur jauh Rusia.
Di destinasi pelancongan popular, Kyoto, suhu mencatat 40°C kali pertama mana-mana titik pemerhatiannya, sama ada yang tertua dibuka pada 1880 mahupun yang terbaru pada 2002, mencatat suhu setinggi itu, menurut pihak berkuasa.

Musim panas Jepun tahun lalu merupakan yang paling panas dalam rekod, menyamai paras pada 2023, diikuti musim luruh paling panas sejak pencatatan bermula 126 tahun lalu.
Kerajaan Jepun telah mengeluarkan amaran strok haba di seluruh negara sejak beberapa hari lalu, apabila suhu melebihi 35°C di ratusan lokasi pemerhatian.
Kelmarin, suhu mencapai 35°C atau lebih di 322 daripada 914 stesen pemerhatian seluruh negara, dipercayai jumlah tertinggi sejak data perbandingan tersedia pada 2010.
Sebanyak 38 lokasi mencatat rekod baharu, termasuk Gujo di Wilayah Gifu di tengah Jepun yang mencatat 39.8°C, menurut JMA.
Gelombang haba dijangka berterusan, dengan JMA memberi amaran tentang peningkatan suhu yang ‘ketara’ di kawasan utara dan timur negara itu.
“Sila jaga kesihatan anda, termasuk mengelakkan strok haba,” menurut agensi itu. – AFP

