Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jepun catat suhu tertinggi pada Jun

    TOKYO, 1 JULAI – Jepun mengalami Jun paling panas dalam rekod, kata agensi cuaca hari ini, apabila perubahan iklim mendorong gelombang haba yang panas di seluruh dunia.

    “Purata suhu bulanan Jepun pada Jun adalah yang tertinggi bagi bulan itu sejak statistik bermula pada 1898,” kata Agensi Meteorologi Jepun.

    Dengan sistem tekanan tinggi yang kukuh pada Jun kekal di rantau itu, purata suhu bulanan adalah 2.34 darjah Celsius lebih tinggi daripada nilai standard, kata agensi itu.

    Suhu air pantai berhampiran Jepun juga mencatatkan 1.2 darjah Celsius (C) lebih tinggi daripada biasa, sama dengan Jun 2024 sebagai yang tertinggi sejak pengumpulan data bermula pada 1982, kata agensi itu.

    Agensi itu juga mengeluarkan amaran lanjut yang sudah menjadi rutin bagi penduduk Jepun, ‘bulan depan dijangka terus dilanda cuaca panas terik di seluruh negara.’

    Pengumuman itu dibuat ketika saintis berkata perubahan iklim yang disebabkan oleh manusia menjadikan peristiwa gelombang haba lebih teruk, kerap dan meluas.

    Gelombang haba yang melampau kini melanda Eropah dari Perancis ke Greece, manakala kesatuan pemain bola sepak global, FIFPro, telah meminta rehat separuh masa yang lebih lama pada Piala Dunia tahun depan untuk mengurangkan kesan haba melampau.

    Ahli meteorologi Jepun telah memberi amaran supaya tidak membuat kaitan langsung antara keadaan cuaca tertentu, seperti suhu yang lebih tinggi dalam masa tertentu, dengan perubahan iklim.

    Tetapi mereka telah memerhati perubahan iklim selama bertahun-tahun yang mencetuskan fenomena cuaca yang tidak dapat diramalkan. – AFP

    Gambar menunjukkan suhu 34C di kawasan Ginza di tengah Tokyo pada 1 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda