TOKYO, 17 DIS – Para saintis Jepun berjaya mencipta imej mental objek dan landskap pertama di dunia daripada aktiviti otak manusia dengan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), lapor media tempatan.
Pasukan saintis dari Institut Sains dan Teknologi Kuantum Kebangsaan (QST) dan organisasi lain dapat menghasilkan imej kasar harimau bintang, dengan mulut, telinga dan corak bertompok yang boleh dikenali, serta objek seperti kapal terbang dengan lampu merah menyala di sayapnya, lapor Kyodo News kelmarin.
Teknologi itu, yang digelar ‘pengekodan otak’, membolehkan visualisasi kandungan persepsi berdasarkan aktiviti otak dan boleh digunakan dalam bidang perubatan dan kebajikan, kata laporan itu.
Semasa penyelidikan, peserta ditunjukkan 1,200 imej objek dan landskap, dengan hubungan antara isyarat otak mereka dan imej dianalisis dan dikira menggunakan pengimejan resonans magnetik berfungsi, atau fMRI. Imej yang sama dimasukkan ke dalam AI generatif untuk mempelajari persamaan mereka dengan aktiviti otak.
Teknologi itu boleh digunakan dalam pembangunan peranti komunikasi dan untuk mendapatkan pemahaman tentang mekanisme otak halusinasi dan mimpi, menurut para penyelidik.
Penyelidik QST, Kei Majima berkata manusia telah menggunakan mikroskop dan peranti lain untuk melihat dunia yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, tetapi mereka tidak dapat melangkah masuk ke dalam minda seseorang, dengan menyatakan ini adalah kali pertama manusia melihat ke dalam fikiran orang lain.
Penemuan itu diterbitkan baru-baru ini dalam edisi dalam talian jurnal saintifik antarabangsa iaitu Neural Networks. – Xinhua


