Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jepun dakwa jet China ‘terlalu dekat’

    TOKYO, 12 Jun – Tokyo hari ini telah menyuarakan kebimbangan serius kepada Beijing selepas jet pejuang China didakwa terbang ‘secara luar biasa dekat’ dengan pesawat peronda tentera Jepun di Lautan Pasifik hujung minggu lalu.

    Insiden itu berlaku susulan kehadiran dua kapal induk China belayar serentak di Lautan Pasifik buat pertama kali, termasuk di kawasan perairan ekonomi Jepun.

    Jepun menyatakan minggu ini, aktiviti kapal induk tersebut yang digambarkan China sebagai ‘latihan rutin’ bagi menunjukkan peluasan skop geografi keupayaan ketenteraan Beijing.

    Jurucakap Kementerian Pertahanan Jepun memberitahu AFP, jet pejuang China telah terbang ‘secara luar biasa dekat’ dengan pesawat peronda Jepun.

    Pada Sabtu, sebuah jet pejuang J-15 dari kapal induk Shandong telah mengekori pesawat peronda P-3C Jepun selama 40 minit.

    Gambar ini menunjukkan jet pejuang J-15 milik China mengekori pesawat peronda Jepun pada 7 Jun. – AFP

    Manakala pada Ahad, dua jet J-15 melakukan perkara yang sama selama 80 minit, katanya.

    Tambahnya, “Sepanjang tempoh tersebut, jet-jet tersebut terbang secara luar biasa dekat dengan P-3C, berada dalam jarak 45 meter pada altitud yang sama pada kedua-dua hari.”

    Pada Ahad, jet China itu terbang merentas ruang udara kira-kira 900 meter di hadapan pesawat peronda Jepun, satu jarak yang boleh dicapai P-3C dalam beberapa saat pada kelajuan pelayaran, tambah jurucakap itu.

    Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan, tiada anggota tentera Jepun yang cedera dalam insiden tersebut.

    Insiden serupa terakhir dilaporkan lebih sedekad lalu pada Mei dan Jun 2014, apabila jet pejuang China jenis Su-27 terbang dalam jarak 30 meter dari pesawat tentera Jepun di Laut China Timur.

    Pengarah Program Inovasi Dasar dan Keselamatan Ekonomi di Universiti Tokyo, Daisuke Kawai, berkata kepada AFP awal minggu ini pergerakan kapal induk China itu mungkin ada kaitan dengan ketegangan ekonomi antara China dan Amerika Syarikat. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda