Thursday, December 12, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jepun dan Brunei perkenalkan langkah pengecualian visa

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 DIS – Jepun dan Negara Brunei Darussalam mula memperkenalkan langkah pengecualian visa bagi warga kedua-dua negara tersebut yang memiliki pasport negara Jepun dan Brunei yang sah untuk tempoh penginapan tidak melebihi 30 hari bagi penginapan jangka pendek.

    Langkah pengecualian visa telah bermula kelmarin, dan ia diambil berdasarkan komunikasi diplomatik antara Jepun dan Brunei pada Mac tahun ini.

    Sebagai langkah timbal balik, tempoh tinggal tanpa visa akan dilanjutkan dari 14 hari kepada 30 hari dengan langkah baharu itu.

    Dengan langkah baharu itu, ianya akan membolehkan lebih ramai pelancong Jepun menikmati keindahan warisan Brunei terutama untuk pelancongan pendidikan.

    Sementara itu, majlis resepsi perlanjutan tempoh tinggal tanpa visa telah diadakan di Ruang Ketibaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB), hari ini.

    TYT Maeda Toru menyambut ketibaan Takumi Matsuzaki dan Takahiro Hirayama. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Takahiro Hirayama semasa ditemu bual. – GAMBAR SERAHAN JABATAN BELIA DAN SUKAN
    Takumi Matsuzaki ketika ditemu bual oleh media. – GAMBAR SERAHAN JABATAN BELIA DAN SUKAN

    Hadir pada acara itu ialah Duta Jepun ke Brunei, Tuan Yang Terutama Maeda Toru dan Pengarah Jabatan Kemajuan Pelancongan di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Dayang Salinah binti Haji Mohd Salleh.

    Ruang ketibaan LTAB di meriahkan dengan pukulan hadrah bagi mengalu-alukan ketibaan penumpang.

    Sementara itu, temu bual media dengan Senior BioEngineer Tech & Biz Development Div, Takumi Matsuzaki, dan Senior Staff, Advertising and Sales Promotion Group dari Honda, Takahiro Hirayama telah berkongsi pandangan mereka mengenai langkah yang diperkenalkan itu.

    Takumi Matsuzaki berasa gembira kerana pelanjutan tempoh visa berkenaan membolehkan beliau berada di negara ini selama lebih dua minggu.

    Beliau yang telah mengunjungi Brunei selama beberapa kali atas urusan kerja turut berharap dengan langkah baharu itu, akan lebih ramai lagi rakyat Jepun berkunjung ke Brunei serta melawat tempat-tempat menarik dan mengenali budaya di negara ini.

    Manakala Takahiro Hirayama yang berada di negara ini sedang bercuti dan beliau melahirkan perasaan gembira dan menghargai perlanjutan visa tersebut.

    “Peluang bercuti di negara ini akan digunakan dengan mengunjungi tempat menarik antaranya seperti muzium, masjid dan beberapa tempat menarik lagi,” tambahnya.

    Pada tahun ini, genap 40 tahun terjalin hubungan diplomatik antara Jepun dan Brunei, dengan langkah baharu itu akan menyumbang kepada pembangunan pertukaran rakyat dengan rakyat, dan budaya serta memantapkan lagi perniagaan dan pelancongan antara kedua-dua negara.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda