TOKYO, 13 NOV – Jepun menggesa China membebaskan rakyatnya yang dijatuhi hukuman penjara 12 tahun atas tuduhan pengintipan, kata jurucakap tertinggi kerajaan Tokyo hari ini.
“Kami sedar bahawa pada 3 November, keputusan penjara 12 tahun ke atas seorang lelaki Jepun berusia 50an, yang telah ditahan pada Julai 2019, telah dimuktamadkan, kerana rayuannya ditolak di mahkamah tinggi di wilayah Hunan China,” kata Hirokazu Matsuno kepada wartawan.
“Kerajaan Jepun akan terus memberikan sokongan setinggi-tingginya yang boleh dari perspektif melindungi warganegara Jepun,” tambahnya.
Sejak undang-undang anti-pengintipan China yang dipinda berkuat kuasa pada 2015, sekurang-kurangnya 17 rakyat Jepun telah ditahan oleh pihak berkuasa China, menurut kementerian luar Jepun.
Bulan lalu, kedutaan Jepun di China mengesahkan bahawa salah seorang rakyat-nya iaitu pekerja syarikat farmaseutikal Jepun, Astellas, telah ditangkap secara rasmi beberapa bulan selepas Beijing berkata ia telah menahan lelaki itu atas dakwaan mengintip.
Kedua-dua Presiden China, Xi Jinping dan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida, dijangka menghadiri sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di San Francisco minggu ini.
Tetapi Matsuno berkata ‘tidak ada rancangan tetap mengenai sidang kemuncak Jepun-China’ di luar mesyuarat itu.
Media tempatan Jepun melaporkan bahawa diplomat di kedua-dua pihak sedang berusaha untuk mengadakan pertemuan antara para pemimpin di San Francisco.
Jika Xi dan Kishida mengadakan perbincangan, agenda itu mungkin termasuk rakyat Jepun yang ditahan oleh China, lapor agensi berita Jepun Jiji, memetik sumber kerajaan yang tidak dinamakan. – AFP


