Khamis, November 20, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jepun dijangka sambung operasi loji nuklear terbesar di dunia

    TOKYO, 19 NOV – Jepun dijangka bakal memberi lampu hijau minggu ini untuk menghidupkan semula loji nuklear terbesar dunia, lapor media negara itu, hari ini.

    Negara yang kekurangan sumber itu telah menghentikan penggunaan tenaga nuklear selepas tragedi Fukushima pada 2011, namun kini mahu memulihkan kembali tenaga atom dan mengurangkan kebergantungan pada bahan api fosil import.

    Loji nuklear Kashiwazaki-Kariwa dijangka menerima kelulusan minggu ini daripada gabenor tempatan untuk menyambung operasi, menurut Kyodo News dan harian perniagaan Nikkei yang memetik sumber tidak dinamakan.

    Menurut laporan itu, Gabenor wilayah Niigata di tengah Jepun, Hideyo Hanazumi dijangka mengadakan sidang media pada Jumaat. Daripada tujuh reaktor di Kashiwazaki-Kariwa, hanya satu yang akan beroperasi semula.

    Selepas tsunami 2011 dan krisis lebur teras di loji Fukushima Daiichi, Jepun menutup semua reaktor nuklearnya, ketika orang ramai menyuarakan kebimbangan terhadap sumber tenaga tersebut.

    Gambar fail Loji Kuasa Nuklear Kashiwazaki-Kariwa di Bandar Kashiwazaki, Wilayah Niigata, Jepun pada 7 Disember 2015. – AFP

    Sebanyak 14 reaktor yang kebanyakannya berada di wilayah barat dan selatan telah kembali beroperasi selepas piawaian keselamatan yang ketat diperkenalkan serta jika diluluskan, ini akan menjadi permulaan pertama loji nuklear bagi pengendali Fukushima, Tepco, sejak bencana itu.

    Kerajaan Jepun terus menyokong tenaga nuklear sebagai sumber tenaga yang bersih dan boleh diharap, yang diperlukan negara itu ketika ia menyasarkan untuk mencapai neutral karbon menjelang 2050.

    Pada Julai, syarikat tenaga Kansai Electric, berkata mereka telah mengambil langkah awal untuk membina reaktor nuklear baharu pertama negara itu sejak bencana Fukushima.

    Jepun masih berdepan tugas besar menyahaktifkan loji Fukushima yang dijangka mengambil masa beberapa dekad.

    Pada Ogos, juruteknik Jepun menghantar robot kawalan jauh ke salah satu bangunan reaktor yang rosak sebagai sebahagian persiapan untuk mengeluarkan serpihan kesan radioaktif. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda