TOKYO, 8 OGOS – Agensi cuaca Jepun hari ini telah mengeluarkan amaran khas hujan lebat untuk wilayah selatan Kagoshima, ‘nyawa berada dalam bahaya’ ketika pihak berkuasa mengarahkan setengah juta penduduk berpindah.
Hujan lebat itu berlaku selepas tempoh gelombang haba yang teruk di banyak kawasan di Jepun, dengan suhu rekod kebangsaan 41.8 darjah Celsius dicatatkan minggu ini.
Rakaman televisyen menunjukkan air berwarna coklat yang deras melimpahi tebing sungai sehingga membanjiri rumah-rumah di Kagoshima.
Kira-kira 530,000 penduduk di wilayah tersebut serta di Miyazaki yang berdekatan telah diminta berpindah atau mengambil langkah alternatif, menurut agensi pengurusan kebakaran dan bencana.
“Kagoshima sedang mengalami hujan lebat yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” kata seorang pegawai Agensi Meteorologi Jepun (JMA) pada sidang media.
“Nyawa berada dalam bahaya. Kami meminta anda melindungi keselamatan diri dengan berpindah ke bangunan yang terletak walaupun sedikit jauh dari sungai atau tebing, atau ke bangunan yang kurang berisiko dilanda banjir,” katanya, sambil menegaskan keadaan berbahaya mungkin sudah wujud di kawasan terjejas.
Pegawai JMA itu juga menggesa penduduk berpindah tanpa menunggu arahan rasmi daripada pihak berkuasa tempatan.
Seorang pegawai kementerian tanah memberi amaran pada sidang media sama mengenai risiko sungai melimpahi tebing.
Bandar Kirishima di Kagoshima mengarahkan penduduk berpindah atau mengambil langkah alternatif selepas amaran khas JMA — tahap tertinggi dalam sistem lima skala agensi itu.
Terdapat laporan yang menyatakan beberapa rumah lain turut runtuh di kawasan tersebut, lapor penyiar awam NHK.
Manakala jurucakap kanan kerajaan Yoshimasa Hayashi berkata terdapat banyak kawasan banjir yang turut dilaporkan.
Lebih 490 milimeter hujan direkodkan dalam tempoh 24 jam sehingga 4:40 pagi kelmarin, di salah satu kawasan Kagoshima iaitu jumlah tertinggi pernah dicatatkan, menurut Kyodo News.
Manakala penerbangan domestik di Lapangan Terbang Kagoshima turut dibatalkan. – AFP


