Monday, July 21, 2025
30.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jepun galakkan bahasa isyarat menjelang Deaflympics

    TOKYO, 20 JULAI – Kerajaan pusat dan tempatan Jepun kini diwajibkan di bawah undang-undang baharu untuk mengambil langkah menggalakkan penggunaan bahasa isyarat, sebagai usaha membina momentum menjelang penganjuran Deaflympics 2025 di Tokyo pada November ini, lapor Agensi Berita Kyodo.

    Undang-undang itu berkuat kuasa pada 25 Jun selepas Parlimen meluluskan rang undang-undang yang digubal oleh ahli Parlimen pelbagai parti. Ia merupakan kali pertama Jepun menggubal undang-undang khusus mengenai bahasa isyarat, menurut Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan.

    Menyifatkan undang-undang itu sebagai bersejarah, Persekutuan Orang Pekak Jepun dalam satu kenyataan berkata pihaknya ‘terharu’ mengenangkan usaha generasi terdahulu yang telah berjuang tanpa jemu meningkatkan kesedaran mengenai bahasa isyarat.

    Melindungi bahasa isyarat akan ‘menyinari masa depan golongan pekak dan mereka yang kurang pendengaran,’ katanya.

    Undang-undang itu menetapkan bahawa kerajaan pusat dan tempatan perlu mengambil langkah sewajarnya untuk menambah baik persekitaran bagi memastikan kemudahan yang munasabah untuk pembelajaran dan penggunaan bahasa isyarat.

    Kerajaan juga mesti mengambil langkah untuk memelihara dan membangunkan budaya bahasa isyarat, termasuk dalam bidang seperti teater dan seni tradisional, serta memperdalam pemahaman awam. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda