TOKYO, 19 Dis – Jepun telah menjatuhkan hukuman mati ke atas dua orang yang disabit membunuh, termasuk seorang lelaki yang melakukan jenayah itu ketika dia masih remaja, menurut kementerian keadilan, tidak mengendahkan gesaan kumpulan hak asasi antarabangsa untuk menghentikan hukuman mati.
Hukuman gantung Teruhiko Seki dan Kiyoshi Matsui membawa kepada 21 orang jumlah keseluruhan hukuman mati sejak Perdana Menteri Shinzo Abe berkuasa lewat 2012.
Seki, 44, disabit bersalah kerana membunuh empat orang di Chiba, tenggara Tokyo, pada tahun 1992 ketika berusia 19 tahun, menurut kementerian tersebut.
Ia adalah hukuman mati pertama ke atas banduan yang melakukan jenayah sebagai remaja sejak 1997 di Jepun, menurut media setempat.
Orang ramai dianggap dewasa apabila sudah berusia 20 tahun di Jepun.
Matsui, 69, dijatuhkan hukuman mati kerana membunuh teman wanita dan ibu bapanya pada tahun 1994. Kedua-dua mereka mahu perbicaraan semula, menurut media setempat.
Meskipun ia belum pernah terjadi sebelum ini, kerana di Jepun jarang sekali orang yang dihukum mati mendapat perbicaraan semula.
“Mereka adalah kes-kes yang sangat kejam,” kata Menteri Keadilan, Yoko Kamikawa kepada wartawan.
“Saya memerintahkan hukuman mati selepas membuat pertimbangan dengan penuh berhati-hati,” katanya.
Jepun dan Amerika Syarikat (AS) merupakan negara maju yang masih menjalankan hukuman mati.
Hukuman mati mendapat sokongan awam di Jepun meskipun bantahan berterusan dari kerajaan Eropah dan kumpulan hak asasi kemanusiaan.
Pihak lawan berkata sistem Jepun adalah kejam kerana banduan yang berdepan hukuman mati ditahan selama beberapa tahun dan hanya diberitahu hukuman mereka akan dijalankan beberapa jam sebelumnya. – AFP