TOKYO, 4 OGOS – Jambatan runtuh dan sungai melimpahi tebing ketika hujan lebat menghentam utara Jepun hari ini, dengan 200,000 penduduk digesa mengosongkan kediaman me-reka selepas amaran banjir dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
Rakaman disiarkan di televisyen menunjukkan banyak lumpur menghanyutkan pokok tumbang ke kawasan kediaman di pergunungan akibat hujan lebat, yang memecahkan rekod di beberapa kawasan.
Dua orang dilaporkan hilang, jurucakap kerajaan, Hirokazu Matsuno memberitahu wartawan. Pihak berkuasa juga memberi amaran peningkatan risiko tanah runtuh dan banjir.
Penyiar awam NHK mengatakan saranan pemindahan tidak wajib dikeluarkan kepada 200,000 penduduk di lima kawasan: Niigata, Yamagata, Fukushima, Ishikawa dan Fukui.
Rakaman siaran lain turut menunjukkan kediaman dibanjiri air yang melimpah dari tebing sungai dan laluan perairan berlumpur yang mencecah ketinggian sebuah jambatan.
Beberapa buah kereta api laju Shinkansen turut digantung operasinya di kawasan terjejas.
Saintis mengatakan perubahan iklim semakin meningkatkan risiko hujan lebat di Jepun dan di kawasan lain, kerana atmosfera panas menakung lebih banyak air. – AFP
