TOKYO, 9 JULAI – Kerajaan Jepun kelmarin mula menggesa pengembara supaya menyimpan bank kuasa di tempat mudah dicapai semasa berada dalam pesawat susulan beberapa insiden bateri mudah alih terbakar semasa penerbangan, lapor agensi berita Kyodo.
Kakitangan syarikat penerbangan di lapangan terbang seluruh negara itu mula meminta kerjasama penumpang, dengan kakitangan kumpulan All Nippon Airways di kawasan menaiki pesawat di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo menasihatkan agar penumpang tidak meletakkan bank kuasa di ruang penyimpanan di atas tempat duduk dalam pesawat.
“Demi keselamatan, kami memohon agar penumpang memahami dan memberikan kerjasama,” kata seorang kakitangan.
Menurut Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan, bateri litium-ion yang biasanya digunakan dalam bank kuasa boleh terbakar jika berlaku hentakan fizikal atau akibat degradasi secara beransur-ansur. – Bernama
