TOKYO, 4 JULAI – Ia menyerupai robot jahat dalam filem sains fiksyen 1980an tetapi robot pekerja baharu West Japan Railway itu dicipta hanya untuk tugasan seperti mengecat dan berkebun.
Mulai bulan ini, mesin yang mempunyai kepala dan mata seperti botol soda – yang dipasang pada trak, yang boleh memandu di landasan – akan digunakan untuk membuat kerja-kerja penyelenggaraan di rangkaian syarikat tersebut.
Pengendalinya duduk di dalam kokpit trak, ‘melihat’ mata robot menerusi kamera dan mengendalikan anggota dan tangannya yang kuat dari jauh.
Dengan ketinggian mencecah 12 meter, mesin itu boleh menggunakan pelbagai pemasangan pada lengannya untuk membawa objek seberat 40 kilogram, memegang berus untuk mengecat atau menggunakan gergaji.
Buat masa ini, tugas utama robot itu akan menumpukan kepada kerja memotong dahan pokok di sepanjang landasan dan mengecat bingkai logam yang menempatkan kabel di atas kereta api, kata syarikat itu.
Teknologi itu akan membantu mengisi kekurangan pekerja di Jepun yang semakin menua serta mengurangkan kemalangan seperti pekerja jatuh dari tempat tinggi atau mengalami renjatan elektrik, kata syarikat itu.
“Pada masa hadapan, kami berharap dapat menggunakan mesin untuk semua jenis operasi penyelenggaraan infrastruktur kami dan ia sepatutnya menawarkan satu kajian kes mengenai cara-cara menangani kekurangan pekerja buruh,” kata Presiden syarikat, Kazuaki Hasegawa pada sidang media baru-baru ini. – AFP