TOKYO, 30 April – Jepun akan menghantar kapal perang terbesarnya sejak Perang Dunia Kedua untuk melindungi sebuah kapal bekalan AS, tatkala tekanan meningkat di rantau berhubung Korea Utara, kata laporan media hari ini.
Kapal pengangkut helikopter Izumo akan bertolak dari pelabuhan induk Yokosuka, selatan Tokyo, esok dan menyertai kapal bekalan AS untuk mengiringinya ke barat Pasifik, lapor akhbar Asahi Shimbun dan Jiji Press memetik sumber kerajaan tidak bernama.
Ia akan menjadi penghantaran pertama, di luar latihan tentera, untuk melindungi armada AS selepas Perdana Menteri Shinzo Abe mengembang keupayaan tentera negara pada tahun 2015, walaupun mereka masih terbatas di bawah perlembagaan pencinta damai Jepun.
Kapal bekalan AS dijangka menyokong armada tentera laut Amerika di Pasifik, kemungkinan termasuk kapal induk pesawat udara USS Carl Vinson, yang masih mengambil langkah berjaga-jaga berhubung tembakan peluru berpandu balistik Korea Utara, kata laporan.
Pegawai tentera laut Jepun enggan memberi komen mengenai laporan berkenaan.

Pada awal minggu ini, kapal AS telah mengadakan latihan bersama dengan tentera laut Jepun.
Carl Vinson tiba di Laut Jepun dan memulakan latihan bersama dengan tentera laut Korea Selatan semalam, beberapa jam selepas Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik sebagai menentang AS. Media Korea Utara berkata tentera Utara berupaya menenggelamkan kapal induk pesawat udara AS dengan satu serangan.
Pelancaran peluru berpandu terbaru, yang dikatakan oleh Korea Selatan sebagai satu kegagalan, menambah ketegangan di semenanjung Korea, dengan Washington dan Pyongyang dibelenggu dalam ancaman yang semakin sengit dan kesediaan tentera yang makin bertambah.
Presiden AS Donald Trump, yang telah mengingatkan tentang ‘konflik besar’ dengan rejim pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un, berkata ujian terbaru merupakan satu penghinaan kepada China, sekutu utama dan bantuan ekonomi Utara.
“Korea Utara tidak mengghormati hasrat China dan Presidennya apabila ia melancarkan, walaupun gagal, peluru berpandu hari ini. Teruk!” tulis Trump di Twitter. – AFP