TOKYO, 17 OKT – Tokyo telah menghantar perwakilan ke Moscow berikutan keputusan badan pemantau keselamatan pertanian Rusia, Rosselkhoznadzor, melarang import produk perikanan dan makanan laut dari Jepun, kata Ketua Setiausaha Kabinet, Hirokazu Matsuno, hari ini.
Beliau berkata Jepun turut meminta agar larangan sementara itu dibatalkan, lapor Sputnik.
“Keputusan unilateral Rusia yang tidak berasaskan data saintifik tidak boleh diterima. Pada 16 Oktober satu perwakilan telah dihantar ke Rusia melalui saluran diplomatik untuk meminta pembatalan sekatan import,” kata Matsuno.
Rosselkhoznadzor kelmarin telah mengumumkan untuk menyertai China dalam mengenakan larangan sementara terhadap import produk perikanan Jepun.
Ia sebagai langkah berjaga-jaga berikutan pelepasan air tercemar dari loji janakuasa nuklear Fukushima Jepun. – Bernama


