TOKYO, 3 OKT – Dua pesawat Angkatan Pertahanan Diri Udara (ASDF) Jepun berlepas dari negara itu hari ini sebagai persediaan untuk kemungkinan evakuasi warga Jepun dari Lubnan ketika ketegangan semakin memuncak antara Israel dan kumpulan Hizbullah yang disokong Iran, lapor agensi berita Kyodo.
Kementerian Pertahanan Jepun menyatakan bahawa sebanyak dua pesawat pengangkut C-2 berlepas dari Pangkalan Udara Miho di wilayah barat Tottori menuju Jordan dan Greece untuk bersiap sedia.
Menurut Kementerian Luar, kira-kira 50 rakyat Jepun berada di Lubnan.
Kementerian Pertahanan membentuk unit petugas bersama yang terdiri daripada 500 anggota selepas Menteri Pertahanan ketika itu, Minoru Kihara mengarahkan ASDF pada 27 September untuk menghantar pesawat berkenaan. Ia telah meminta kebenaran negara lain untuk terbang melalui ruang udara mereka. – Bernama