TOKYO, 5 NOV – Kementerian Pertahanan Jepun menghantar tentera hari ini ke wilayah utara Akita bagi membantu mengekang peningkatan serangan beruang yang mengejutkan penduduk di kawasan pergunungan itu.
Beruang dilaporkan muncul berhampiran sekolah, stesen kereta api, pasar raya, malah di resort mata air panas, dengan serangan haiwan itu dilaporkan hampir setiap hari di seluruh Jepun, terutamanya di utara negara.
Sejak April, lebih 100 orang cedera dan sekurang-kurangnya 12 maut akibat serangan beruang di Jepun, menurut statistik Kementerian Alam Sekitar pada akhir Oktober.
“Setiap hari, beruang menceroboh kawasan kediaman di wilayah ini dan kesannya semakin meluas,” kata Timbalan Setiausaha Ketua Kabinet, Fumitoshi Sato, kepada pemberita.
“Tindakan terhadap masalah beruang adalah perkara yang mendesak.”

Kementerian Pertahanan dan wilayah Akita menandatangani perjanjian mengenai penghantaran tentera pada petang hari ini, membolehkan tentera memasang perangkap kotak dengan makanan di dalamnya, membawa pemburu tempatan dan membantu pelupusan beruang mati. Pegawai berkata tentera tidak akan menggunakan senjata api untuk memburu beruang.
Gabenor Akita, Kenta Suzuki, berkata pihak berkuasa tempatan berasa ‘putus asa’ kerana kekurangan tenaga kerja di tengah laporan serangan beruang yang berlaku setiap hari.
Menteri Pertahanan, Shinjiro Koizumi, berkata kelmarin misi beruang itu bertujuan membantu memastikan keselamatan harian penduduk, tetapi misi utama anggota Angkatan Pertahanan Sendiri (SDF) adalah pertahanan negara dan mereka tidak dapat memberikan sokongan tanpa had terhadap masalah beruang. SDF Jepun sudah menghadapi kekurangan anggota.
Setakat ini, kementerian belum menerima permintaan lain untuk bantuan tentera berkaitan isu beruang, tambah beliau. – AP
