TOKYO, 2 MAC – Jepun meminta China supaya tidak menjalankan ujian calitan anus ke atas warganya untuk mengesan COVID-19 dengan menyatakan kaedah itu boleh mendorong kepada tekanan emosi.
Campur tangan Tokyo itu berlaku selepas laporan menyatakan anggota diplomatik Amerika Syarikat (AS) di China mengadu menjalani ujian itu yang dinafikan oleh Beijing.
China yang berjaya mengawal COVID-19 menyatakan bulan lalu ujian calitan anus lebih efektif daripada ujian tekak dan hidung kerana virus dapat bertahan lebih lama dalam sistem pencernaan.
Bagaimanapun, jurucakap kerajaan Jepun, Katsunobu Kato, berkata Tokyo membuat permintaan rasmi melalui kedutaannya di Beijing supaya rakyatnya dikecualikan.
“Kedutaan kami meminta warganegara Jepun dikeluarkan daripada ujian calitan anus kerana beberapa ekspatriat Jepun memberitahu ujian itu menimbulkan tekanan psikologi yang signifikan.
“Pada saat ini, kami belum menerima maklum balas mereka akan mengubah langkah ini… kami akan terus memberi tekanan,” katanya.
Beliau juga berkata, setakat ini tiada maklumat negara lain menggunakan kaedah berkenaan.
Menjawab mengenai aduan itu, Jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin memberitahu kaedah ujian dijalankan Beijing berdasarkan sains dan sesuai dengan perubahan dalam situasi wabak serta undang-undang dan peraturan yang relevan. – AFP
