Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jepun kalahkan Brazil buat kali pertama

    TOKYO, 15 OKT – Jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu berkata, kemenangan Jepun ke atas Brazil merupakan hasil usaha puluhan tahun dan menyatakan keyakinan terhadap para pemainnya yang boleh menjadikannya sebagai batu loncatan menuju kejayaan Piala Dunia.

    Jepun mengejutkan Brazil dengan tiga gol pada separuh masa kedua untuk mencatat kemenangan persahabatan 3-2 di Tokyo kelmarin, kemenangan pertama mereka ke atas pasukan Amerika Selatan itu dalam 14 pertemuan.

    Moriyasu memuji para pemainnya kerana akhirnya berjaya memecah kebuntuan, namun turut memberi penghormatan kepada pasukan kebangsaan terdahulu yang telah membuka jalan kepada kemenangan bersejarah tersebut.

    “Jepun tidak pernah menewaskan Brazil sebelum ini, tetapi para pemain yang datang sebelum kami sentiasa berani mencuba untuk menewaskan mereka, dan kerana usaha mereka, kami berjaya menang hari ini,” kata jurulatih itu.

    Tambahnya, “Keputusan tersebut menghubungkan usaha generasi pemain Jepun sekarang dan yang terdahulu.”

    Hajime Moriyasu semasa menyanyikan lagu kebangsaan sebelum bermulanya perlawanan persahabatan bola sepak di Tokyo pada 14 Oktober. – AP

    Di samping itu, Jepun turut menewaskan Jerman dan Sepanyol pada Piala Dunia 2022 di Qatar sebelum tewas menerusi sepakan penalti kepada Croatia pada pusingan 16 terbaik.
    Moriyasu sebelum ini berkata, Jepun menyasarkan untuk memenangi kejohanan tahun depan di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

    Beliau menggesa para pemainnya agar terus memperbaiki prestasi dan menyambut baik suntikan keyakinan itu kurang daripada setahun sebelum kejohanan bermula.

    Takumi Minamino memulakan kebangkitan apabila menjaringkan gol awal pada separuh masa kedua selepas Jepun ketinggalan dua gol pada separuh masa pertama.

    Keito Nakamura menambah satu lagi gol sebelum Ayase Ueda menanduk masuk gol kemenangan dengan baki 20 minit permainan.

    Keputusan itu mencetuskan sorakan gemuruh di tempat duduk penonton, dengan hampir 45,000 penyokong hadir menyaksikan detik bersejarah tersebut.

    Penyerang Shuto Machino berkata, pemain Monaco, Minamino yang mengetuai pasukan menggantikan kapten Wataru Endo yang tercedera telah membangkitkan semangat rakan-rakannya sebelum perlawanan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda