TOKYO, 16 JULAI – Jepun mengeluarkan amaran strok haba hari ini kepada berpuluh-puluh juta orang ketika suhu tinggi yang hampir mencatat rekod melanda sebahagian besar negara, sementara hujan lebat melanda kawasan lain.
Penyiar nasional NHK memberi amaran kepada penduduk bahawa bahang panas mencecah tahap yang mengancam nyawa, apabila suhu meningkat kepada hampir 40 darjah Celsius di beberapa tempat, termasuk ibu negara Tokyo.
“Sila kekal terhidrasi dan gunakan penghawa dingin sewajarnya dan elakkan daripada keluar dari rumah,” kata seorang penyampai berita.
Kerajaan mengeluarkan amaran strok haba untuk 20 daripada 47 wilayah negara, terutamanya di timur dan barat daya, yang menjejaskan puluhan juta orang.
Haba boleh membawa maut dengan mencetuskan strok haba, yang merosakkan otak, buah pinggang dan organ lain, tetapi ia juga boleh mencetuskan keadaan lain seperti serangan jantung atau masalah pernafasan.
Bandar Kiryu di wilayah Gunma, utara Tokyo, menyaksikan merkuri mencecah 39.7C manakala Hachioji di barat Tokyo mencecah 38.9C, menurut Agensi Meteorologi Jepun.
Beberapa tempat mengalami suhu tertinggi dalam tempoh lebih empat dekad hari ini, termasuk bandar Hirono di wilayah Fukushima dengan 37.3C, dan bandar peranginan mata air panas Nasushiobara dengan 35.4C, menurut data agensi cuaca. – AFP