Sunday, July 13, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jepun keluarkan 200,000 tan beras stok kerajaan

    TOKYO, 10 JUN – Jepun merancang untuk mengeluarkan tambahan 200,000 tan beras daripada simpanan stok kerajaan melalui kontrak terus dengan peruncit, kata Menteri Pertanian Shinjiro Koizumi hari ini, dalam usaha terbaharu untuk mengekang kenaikan harga makanan ruji itu.

    Menurut agensi berita Kyodo, beras yang akan dikeluarkan terdiri daripada 100,000 tan setiap satu daripada hasil tuaian 2020 dan 2021. 

    Koizumi berkata beliau menjangkakan beras tuaian 2020 akan dijual di kedai pada harga 1,700 yen bagi setiap lima kilogram.

    Langkah itu akan menyebabkan rizab beras negara tinggal kira-kira 100,000 tan, berkurangan daripada sekitar 910,000 tan sebelum kerajaan mula mengeluarkan stok melalui lelongan pada Mac dan April lalu.

    Penyusutan mendadak dalam simpanan stok telah menimbulkan kebimbangan bahawa rizab kerajaan mungkin tidak mencukupi sekiranya berlaku kecemasan. Koizumi menyatakan minat untuk meningkatkan import beras bagi memastikan bekalan domestik yang stabil.

    Shinjiro Koizumi semasa ditemu bual media di Pejabat Perdana Menteri, Tokyo, Jepun pada 21 Mei. – AP

    Koizumi berkata beras itu akan diagihkan kepada rangkaian pasar raya kecil dan kedai khusus, selain peruncit utama, dengan Kementerian Pertanian dijangka mula menerima permohonan esok.

    Kerajaan secara asasnya menyimpan satu juta tan beras sebagai persediaan menghadapi kecemasan seperti bencana atau kegagalan hasil tanaman, dengan membeli 200,000 tan setiap tahun daripada petani selama lima tahun. Permintaan beras domestik tahunan Jepun dianggarkan sekitar 6.7 juta tan.

    Beras mengalami kekurangan bekalan di kedai-kedai Jepun sejak musim panas lepas, menyebabkan harga terus meningkat.

    Harga beras kini telah meningkat dua kali ganda berbanding tahun lepas, dengan purata 4,223 yen bagi setiap lima kilogram bagi minggu berakhir 1 Jun.

    Kementerian mengesyaki beberapa pemborong dan petani menyorok beras dengan harapan harga akan terus meningkat.

    Awal bulan ini, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Shigeru Ishiba mengadakan mesyuarat pertama melibatkan menteri-menteri berkaitan untuk membincangkan dasar beras negara dan meneliti punca kenaikan harga yang berterusan.

    Bagi menangani kemarahan awam, kerajaan mula mengeluarkan stok beras lebih awal tahun ini sebagai langkah menangani harga yang melambung tinggi. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda