Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jepun, Kemboja dan Vietnam kukuh kerjasama pertahanan

    PHNOM PENH, 5 OGOS – Menteri Pertahanan Jepun mengadakan perbincangan dengan pegawai kanan di Kemboja, sekutu utama China, hari ini ketika beliau memulakan lawatan ke negara Asia Tenggara yang juga akan membawanya ke Vietnam.

    Berdasarkan sejarah, Jepun telah mengekalkan hubungan mesra dengan Kemboja, tetapi pengaruhnya adalah kecil berbanding China, saingan geopolitik terbesarTokyo di Asia, dengan pengaruh yang semakin meningkat di seluruh Asia Tenggara.

    Menteri Pertahanan, Minoru Kihara mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya dari Kemboja, Tea Seiha serta dengan Perdana Menteri, Hun Manet dan bekas Perdana Menteri, Hun Sen, yang kini menyandang jawatan Presiden Dewan Negara, kata jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Jeneral Chhum Sochet dalam laman Facebooknya.

    Beliau berkata kedua-dua menteri pertahanan berikrar untuk mempromosi kerjasama terutamanya dalam sumber manusia dan pertukaran lawatan kakitangan, seperti yang dinyatakan dalam memorandum persefahaman 2013.

    Kenyataan Kementerian Pertahanan secara berasingan berkata kedua-dua pihak bersetuju mengadakan kursus latihan ketenteraan bersama yang meliputi operasi menyelamat bencana dan bertukar atase tentera.

    Kihara memberitahu pemberita sebelum lawatannya bahawa Jepun telah meningkatkan hubungan pertahanan dengan Kemboja dan Vietnam dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan beliau berharap dapat memperkukuh kerjasama itu.

    “Negara-negara Asia Tenggara terletak di kawasan strategik penting yang merupakan sebahagian daripada laluan laut penting Jepun,” kata Kihara.

    Kihara berkata beliau berharap untuk berkongsi ‘pemahaman tentang persekitaran strategik’ di rantau dan mengukuhkan kerjasama pertahanan dan keselamatan dengan Kemboja dan Vietnam. – AP

    Gambar menunjukkan Kihara (kiri), berjabat tangan dengan Tea Seiha di Kementerian Pertahanan di Phnom Penh, Kemboja pada 5 Ogos. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda